Kenderaan prototaip ‘Claria V’ mampu bergerak lebih 1,000 kilometer dengan satu liter minyak
JOHOR BAHRU: Sekumpulan 18 penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, membangunkan sebuah prototaip kenderaan dinamakan 'Claria V' yang mampu menempuh perjalanan lebih 1,000 kilometer dengan hanya satu liter minyak.
'Claria V' yang dibangunkan lebih setahun lalu, akan menyertai Pertandingan Cabaran Shell Eco bersama 11 universiti lain di seluruh negara yang diadakan di Litar Formula 1 Sepang, Julai ini yang turut disertai pasukan negara Asia lain seperti Indonesia, China, Iran, Taiwan dan Jepun. Kenderaan prototaip itu yang menggunakan enjin mesin pemotong rumput 35cc, dibangunkan dengan harga RM25,000 mempunyai berat casis serta enjin kira-kira 49.3 kilogram dan berat keseluruhan dengan seorang pemandu tidak melebihi 100 kilogram.
Penasihat pembangunan 'Claria V' yang juga Pensyarah Kejuruteraan Mekanikal (Automatif) UTM, Prof Madya Pakharuddin Mohd Samin, berkata tahun lalu universiti itu turut mengambil bahagian dalam pertandingan sama di Jerman dan mendapat tempat keempat.
Katanya, pemenang tahun lalu mencipta perjalanan sejauh 3,300 kilometer dengan hanya satu liter minyak dan pihaknya berharap 'Claria V' dapat mencatat jarak separuh daripada itu.
“Semua pelajar yang membangunkan 'Claria V' ini adalah penuntut Tahun Dua dan Tiga Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (Automatif) UTM dan selain kenderaan ini, UTM Kuala Lumpur turut menghantar satu lagi penyertaan,” katanya selepas Majlis Pengenalan 'Claria V' oleh Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Zaini Ujang di pekarangan Bangunan Pentadbiran UTM Skudai.
Pakharuddin berkata, 'Claria V' ialah nama saintifik ikan Keli, 'Clarias Bastrachus', berikutan reka bentuk kenderaan terbabit menyerupai ikan berkenaan dengan pengubahsuaian bahagian enjin bagi mengurangkan penggunaan minyak.
"Pertandingan Cabaran Shell Eco ini, menguji kemahiran peserta mencipta kenderaan mampu bergerak jauh menggunakan tenaga paling minimum dan sebab itu, bahan digunakan untuk badan kereta daripada gentian kaca disebabkan ia ringan, manakala pengemudi, transmisi serta pengikat menggunakan aluminium," katanya.
Pengurus Pasukan 'Claria V', Syed Nur Adaf Zhafry Ismail, 21, berkata beliau dan rakannya berbangga menghasilkan kenderaan prototaip itu dan berharap ia membuka jalan penyelesaian terhadap penggunaan minyak dengan lebih efisien.
"Kami tidak meletakkan harapan tinggi dalam pertandingan ini kerana kali pertama menyertainya. Cabaran Shell Eco akan dianjurkan tiga tahun berturut-turut di Malaysia dan mungkin tahun depan kenderaan prototaip UTM akan mencipta kejayaan," katanya.
Sementara itu, Dr Zaini berkata, pertandingan itu menjadi ruang mahasiswa mengaplikasi segala teori dipelajari dari buku.
No comments:
Post a Comment